Alhamdulillah... segala puji-pujian hanya layak dikembalikan kepada Allah SWT. Alhamdulillah.
Semester 1 2014.
Bersamaan juga dengan PISMP Semester 5 pada tahun ini. Subhaanallah. Sekejap sahaja. Tidak terasa yang dahulu mula-mula masuk IPG semasa 28 Jun 2010 untuk mengikuti kursus persediaan Ijazah Perguruan. Subhaanallah. Sekejap sahaja masa menginjak sedangkan dahulu, terasa lama pula untuk menamatkan pengajian. Subhaanallah. Selepas semester ini, tinggal 3 lagi semester dan hanya tinggal setahun lagi selepas tahun ini. Ya Allah, aku bakal merindui saat-saat yang sedang aku lalui ini. Biarpun jalan ini ada likunya, aku memohon supaya dipermudahkan. Ameen.
Pada semester ini, aku merancang tugasan dan sentiasa siap sedia lebih awal. Perkara pertama yang disediakan ialah planner atau buku catatan perancangan tahunan. Planner itu aku sediakan sendiri sahaja dengan mencari template di Internet seterusnya cetak dan masukkan ke dalam fail. Bukan senang juga mahu cari planner yang mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki tetapi Alhamdulillah, urusan tersebut telah dipermudahkan-Nya. Alhamdulillah.
Aktiviti rutin aku di hujung minggu adalah menggosok baju kuliah; kesemuanya yang mana ada, kira-kira 13 pasang dan menyelesaikan tugasan yang telah diberikan oleh guru. Pendek kata, aku tidak bertangguh. Aku berusaha juga setakat yang mampu untuk menyelesaikan tugasan. Awal-awal begini agak teratur dan sistematik lagi, aku bimbang juga apabila tugasan KKP mula menyapa. Bimbang tidak menang tangan. Hehehe. Sekarang ini pun kami sudah diberikan tugasan amali Pendidikan Jasmani. InsyaAllah, sedang dilaksanakan dengan rapi bersama ahli kumpulan, mohon doa semua supaya dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.
Di sepanjang semester 5 ini, pelbagai aktiviti yang telah dirancang dan perlu dilaksanakan oleh kami pelajar Semester 5, antaranya ialah:
1) 17-21 Mac 2014 : Minggu Matematik Jabatan Matematik IPG Kampus Pendidikan Islam
2) 12 Mac 2014 : Kejohanan Olahraga Tahunan IPG Kampus Pendidikan Islam
3) 28 Februari - 2 Mac 2014 : Lawatan Ilmiah Pendidikan Jasmani ke Sekolah Sukan di Johor
4) 30 April 2014 : Program School-Teaching Jabatan Matematik IPG Kampus Pendidikan Islam dengan kerjasama sekolah berdekatan
5) 31 Mac - 25 April 2014 : Praktikum Fasa 1
6) Kursus Pergigian
7) Program Apresiasi Budaya sempena subjek EDU3106 Budaya dan Pembelajaran
8) Bina Insan Guru(BIG) Fasa 5
Fuhhh. :)
Walaupun nampak banyak, tapi semuanya perlu dihabiskan dalam masa kurang daripada 5 bulan. Dalam masa 4 bulan. Tolak dengan praktikum selama satu bulan, maka tinggal 3 bulan sahaja lagi untuk menjalankan semua aktiviti. Ditolak pula dengan minggu ulangkaji pelajaran dan minggu peperiksaan, maka tinggal lebih kurang 2 bulan lebih sahaja sebenarnya masa yang benar-benar diperuntukkan untuk kesemua aktiviti. Itu belum lagi dicampur dengan kuliah ganti yang mempunyai peratusan tinggi untuk diganti bagi mencukupkan jumlah jam kredit. Ditambah pula dengan KKP yang memerlukan peruntukan masa yang baik untuk menghasilkan KKP yang berkesan dan memenuhi soalan tugasan serta persiapan yang perlu dilakukan bagi menghadapi praktikum.
Allah... berat bunyinya tetapi insyaAllah kesemuanya dapat dilaksanakan seperti yang dirancang, insyaAllah.
Kebetulan juga sebenarnya banyak tawaran mengajar tusyen yang ditawarkan tetapi antara kekangan besar yang aku ada ialah tidak mempunyai kenderaan sendiri. Namun tawaran tersebut banyak kali juga tetap kunjung tiba sehingga hari ini, aku menerima tawaran untuk mengajar tusyen subjek Fizik dan Matematik Tambahan untuk seorang anak pensyarah yang kini berada di Tingkatan 5. Beliau mahu mengulangkaji semula topik-topik semasa di Tingkatan 4. Aku tidak begitu mahir dalam Fizik tetapi insyaAllah, bekal pengajian semasa di Tingkatan 4, 5 dan dua tahun di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang Sains Fizikal, insyaAllah aku akan cuba sedaya upaya, yang sebaiknya.
Seingat aku, semasa di Maktab Rendah Sains MARA( MRSM) Kota Putra, aku tidak pula mengikuti tusyen. Kami lebih banyak belajar sendiri. Mungkin faktor disiplin masa dan jadual yang tidak memberi tekanan kepada kami membuatkan kami boleh mencapai keputusan yang cemerlang. Apa yang penting dalam pelajaran adalah perasaan yang ceria dan tenang semasa belajar. Aku pelik juga melihat anak-anak pensyarah yang hidupnya sentiasa dengan kelas tambahan selain daripada di sekolah. Kesian mereka keletihan belajar. Namun aku tahu, ibu bapa sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Aku mendoakan yang terbaik untuk semua. Jadi, selepas ini jadual aku akan lebih padat dan sudah tentu tiada alasan lagi untuk aku menangguhkan kerja kerana banyak perkara yang perlu aku selesaikan.
Target keputusan peperiksaan aku pada semester kali ini ialah 4.00 dengan purata mata gred 3.86. Selain daripada keputusan yang baik itu, aku ingin belajar lebih banyak perkara sebelum aku keluar mengajar di medan sekolah kelak. InsyaAllah.
Doakan aku sihat. sihat. sihat. dan sentiasa bermotivasi tinggi untuk menyumbang kepada masyarakat, terutamanya untuk anak-anak aku, klien utama di sekolah nanti. InsyaAllah.
Afiah, semoga Allah permudahkan segalanya. Jangan putus asa, Allah sebaik-baik tempat bergantung :)
Wassalam.