CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
tegurlah aku kerana dalam setiap teguranmu itu pasti terselit seribu satu hikmah yang pasti bisa menunjukkan sinar kepadaku...

Waktu Persekolahan

Cuti Cuti Cikgu 2014!


Wednesday, January 8, 2014

Perjalanan Menuju Destinasi Seorang Guru


Bismillahirrahmaanirrahim.



"Macamana awak boleh masuk sini?"
"Kenapa awak ikut juga?"

Allah. Rasa bergenang air mata. Menahan rasa sebak bagi memberi sebuah jawapan kepada persoalan yang diutarakan. Adakalanya, atau selalu juga air mata ini tumpah melangkaui tebingnya. Jawapan yang satu, selamanya terpahat di hati adalah "Allah izinkan saya berada di sini. Ini takdir Allah tentukan." Sudah pasti lain pula sebenarnya jawapan yang diberikan bagi memuaskan hati manusia kerana mereka perlu bukti.



2010.

Tahun yang mencorakkan masa depan. Tahun di mana besarnya kesan yang akan terjadi hasil pilihan yang dibuat.


Sebagai seorang yang sudah tamat belajar di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Sains Fizikal, aku punya pilihan untuk menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Matematik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Kuantan. Surat tawaran juga sudah diterima. Tapi hati ini berat juga mahu mengisi borang memohon melanjutkan pelajaran di IPG atau lebih mesra dikenali sebagai maktab perguruan.

Siap-siap borang di hantar. Aku meneruskan usaha dengan bertawakkal, menyerah segala urusan kepada Allah.

Antara dua pilihan. Aku benar-benar tidak pasti, adakah memang aku akan menjadi guru? Adakah impian atau cita-cita aku sejak aku berumur 7 tahun dapat dicapai? Adakah memang menjadi guru itu takdir yang terbaik untuk aku?

Aku tidak melakukan solat istikharah secara khusus tetapi istikharahku sentiasa di dalam doa sujud terakhir pada setiap waktu solat. "Ya Allah, jika menjadi guru itu yang terbaik untuk aku, maka Kau tunjukkanlah kepadaku melalui panggilan temuduga. Jika sebaliknya, janganlah Kau berikan harapan kepadaku dengan mendapat panggilan temuduga tersebut."

Saban hari, itulah doa yang sama. Berulang kali. Surat tawaran UIAM aku biar sepi tanpa jawapan.

Apabila tiba hari keputusan panggilan temuduga, ternyata aku tidak berjaya mendapat tempat untuk menduduki temuduga tersebut. Aku redha, kerana aku percaya, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk aku. Saat itu, aku sedar bahawa menjadi guru adalah bukan yang terbaik untuk diri aku. Hari-hari seterusnya dilalui dengan penuh keredhaan dan fikiran yang sarat berfikir tentang 'kesalahan' cita-cita aku. Apakah sebenrnya yang Allah rencanakan?

Tiba pula suatu hari di mana semuanya memberi pengertian yang bermakna. Panggilan temuduga kedua.

Aku menangis kegembiraan. Gembira kerana aku yakin bahawa menjadi guru adalah yang terbaik untuk aku! Walaupun aku baru sahaja dipanggil untuk temuduga, aku percaya bahawa Allah mendengar doa aku. Panggilan temuduga bermakna aku bakal menjadi seorang guru! Aku sangat yakin bahawa aku dapat memasuki IPG dan seterusnya mencapai cita-cita seorang anak kecil yang polos.

Persiapan untuk temuduga telah aku persiapkan, tiada rasa gentar di dalam diri. Allah hilangkan rasa gentar dan memberi rasa ketenangan dalam diri. Apa jua yang aku perjuangkan hari tersebut adalah kerana Allah SWT.

Sesekali ada juga aku belek-belek surat tawaran UIAM. Seperti sediakala, sepi juga di situ. Aku tidak menekan sebarang butang jawapan lagi namun aku sudah maklumkan kepada Umi mengenai surat tawaran tersebut.

Hari keputusan diumumkan. Pagi-pagi lagi sebaik sahaja mengetahui bahawa keputusan telah diumumkan, aku bergegas menuju ke arah komputer riba untuk menyemak keputusan. Malangnya talian terlalu sibuk. Aku tenangkan diri, dan sehingga tengahari, barulah aku mencuba semula. Alhamdulillah, lulus temuduga dan aku ditempatkan di IPG Kampus Pendidikan Islam dalam pengkhususan yang menjadi pilihan pertama aku, iaitu Matematik. Aku berasa sungguh bersemangat dan bersyukur dengan anugerah yang Allah kurniakan ini. Sekali lagi, aku menangis sendirian kerana mengenangkan baiknya Allah pada aku tetapi aku masih tidak lepas daripada melakukan dosa sama ada secara tidak sengaja atau sengaja.

Urusan persediaan yang menakutkan aku adalah pemeriksaan kesihatan. Sebagai seorang yang mempunyai masalah kesihatan, perkara ini membuatkan aku resah. Namun aku berlaku jujur memberitahu doktor masalah yang dihidapi oleh aku dan terpulang kepada doktor untuk menulis di dalam laporan perubatan. Kesimpulan akhirnya, lulus bersyarat.

Aku lega, tetapi masih tidak cukup lega lagi.

Semasa minggu orientasi, kami perlu menjalani aktiviti riadah pada waktu petang. Memandangkan aku tidak tahu sejauh mana kemampuan diri aku dalam bersukan, aku mengambil keputusan untuk tidak mengambil bahagian kerana ia melibatkan acara berlari. Aku berada di padang memerhatikan rakan-rakan bermain. Pada waktu tersebut, ada seorang warden wanita yang mengambil angin petang dan bertanyakan kenapa aku tidak menyertai yang lain. Aku katakan pada beliau bahawa aku mempunyai masalah kesihatan. Dia bertanya lebih lanjut, "Boleh sembuh ke?" Aku katakan boleh, dengan menukar injap. "Kalau buat pembedahan kena rehat paling kurang setahun". Aku diam sahaja. Tanpa aku sedar, rupa-rupanya perkara tersebut dilaporkan kepada pihak pentadbiran.

Hari menandatangani borang perjanjian sebagai seorang guru pelatih. Aku dan rakan-rakan sudah siap sedia berada dalam dewan rekreasi, seorang satu meja. Sedia untuk mengisi dan menandatangani borang perjanjian. Datang seorang wakil pelajar, Eefah. Masuk ke dewan dan mencari seorang pelajar bernama Haifa yang mempunyai masalah jantung dan akan menjalani pembedahan tidak lama lagi. Aku senyap di tempatku. Aku bertegas bahawa itu bukan aku walaupun aku tahu dia sebenarnya mencari aku. Puan Fazidah juga menegaskan bahawa urusan itu perlu diselesaikan kerana tiada guna sekiranya menandatangani borang perjanjian tersebut tetapi perlu ditangguhkan semula. Katanya, "kita tidak mahu terima pelajar yang sakit". Allah. Tahu sahajalah perasaan aku pada ketika aku. Aku rasa sangat sedih. Aku menyendiri. Tatkala menuju ke masjid untuk solat Asar, aku memikirkan perkara tersebut. Semasa solat tidak henti-henti aku menangis. Selepas solat aku tidak henti-henti menangis juga. Aku merintih kepada Allah. Aku memohon doa kepada Allah. Aku sedaya upaya memotivasikan diri sendiri dan memberi semangat kepada diri sendiri. Pada waktu riadah petang itu, aku lewat. Aku tidak mahu dekat dengan kelompok rakan memandangkan mata aku yang merah, wajah diselubungi kesedihan.

Datang seorang kakak perwakilan, kak Atiqah bertanya sekiranya aku kurang sihat. Maka kepada dia aku curahkan segala rasa yang aku pendam seorang diri. Dia membantu aku menaikkan semangat diri, supaya percaya pada diri. Aku ambil keputusan untuk berjumpa dengan Dr Husin, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar pada tahun tersebut. Beliaulah yang memanggil untuk bertemu dengan 'Haifa'. Aku ceritakan keadaan aku yang bagaimana dan beliau dengan penuh berhemah dan sangat menenangkan berkomunikasi dengan aku. Tanpa ada unsur memprovok aku atau memberi ancaman kepada sedikit rasa ketenangan yang aku ada. Bahkan beliau yang membuatkan aku percaya pada diri bahawa aku layak berada di sini tanpa perlu ada rasa bimbang atau takut dengan keadaan kesihatan aku. Sungguh, aku berjalan keluar dengan penuh rasa syukur, rasa yang sukar digambarkan sebenarnya. Biarlah orang hendak kata gila, tapi senyum sendirian itu sangat manis ketika itu!

------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Apa yang ingin aku tekankan melalui perkongsian ini adalah sebenarnya bukan semua perkara kita memerlukan sebab logik. Soalan-soalan yang sepertimana diutarakan di atas adalah soalan yang aku sendiri tidak dapat menjawabnya kerana kita perlu yakin dan tahu bahawa tiada apa yang mustahil dalam hidup ini. Semuanya boleh terjadi dengan izin Allah! Satu kepastian, semuanya dari Allah. Alhamdulillah.

Bila dilihat semula, banyak sekali perkara yang memang Allah pelihara untuk aku. AllahuAkbar. Apa lagi yang tidak membuatkan aku bersyukur dan menjadi lebih dekat dengan-Nya?

Mari tambahkan iman dan amal. Kekalkan keyakinan kita terhadap kekuasaan Allah SWT.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
IKLAN

Kepada yang ingin memiliki buku Mudahnya Menjemput Rezeki karya Ustaz Fathuri Salehuddin, boleh hubungi saya di talian 013 308 2815.

Semoga Allah permudahkan.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Tentang Penulis

Penulis sekarang sedang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dalam bidang Matematik Pendidikan Rendah di IPG Kampus Pendidikan Islam, Bangi. Sudah berada selama 4 tahun di sini iaitu sebanyak 8 semester termasuk semester ini dan masih berbaki 3 semester sahaja lagi. Doakan segalanya dipermudahkan terutamanya apabila sesi praktikum bermula pada semester ini. InsyaAllah, segalanya mendapat kemudahan daripada Allah SWT.

4 comments:

Human said...
This comment has been removed by the author.
Human said...

Assalamualaikum..boleh tak kalau saya apply ipg semasa saya masih study kat asasi uia?

A.F.I.A.H said...

Waalaikumussalam..

Maaf, lambat perasan komen =_="

InshaaAllah boleh selagi umur kita tak lebih 20tahun masa tarikh memohon/tarikh temuduga. Macam gitulah. Taktau kalau dah tukar dia punya syarat ^_^

Saya tak apply masa dekat Asasi UIA sebab takmau susah-susah balik untuk temuduga.

InshaaAllah, rezeki masing-masing :)

Maiya said...

Hope there. I'm also one of the ex-kopurian. Masuk ipg jugak. Tapi berbezq dengan saudari.. saya masih tidak past dengan keputusan ini.