CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
tegurlah aku kerana dalam setiap teguranmu itu pasti terselit seribu satu hikmah yang pasti bisa menunjukkan sinar kepadaku...

Waktu Persekolahan

Cuti Cuti Cikgu 2014!


Sunday, May 11, 2014

What I Remember Most About My Umi

Bismillah...

Semasa melihat-lihat kepada news feed di Facebook, aku melihat kepada satu persoalan yang ditanyakan oleh kawan melalui statusnya. Apa perkara yang kita ingat tentang mak kita.

Tak selalu aku mahu menulis begini, insyaAllah apa yang diingati itulah akan aku coretkan di sini.

1) Lepas solat Maghrib, aku akan tertunggu-tunggu umi keluar daripada bilik. Aku akan serahkan sebatang pen dan buku rekod berwarna merah untuk umi tandatangan. aku bangga waktu itu walaupun aku hanya berumur 7 tahun kerana aku selalu dapat 5A dalam peperiksaan. Aku mahu umi bangga dengan aku dan gembira dengan kejayaan aku.

2) Aku seorang budak kecil yang nakal. Daripada selepas ayah pergi kerja jam 2 petang sehinggalah umi balik sekolah jam 6.30 petang, aku akan bermain macam-macam permainan termasuklah bermain api. Masih kekal parut di tangan aku akibat tertitis straw yang dibakar untuk dititiskan ke atas semut. Aku tak menangis. Bila umi balik dari sekolah dan mengambil adik daripada rumah pengasuh, akulah kanak-kanak yang comel perasan baik membuntuti umi daripada belakang untuk pulang ke rumah. Padahal umi tidak tahu apa yang dibuat oleh aku.

3) Masa aku umur 6 tahun, baru balik dari tadika, umi tengah siram pokok bunga. Aku sakit perut dan beroperasi di dalam tandas. Ahirnya umi benarkan aku tunggu sahaja di rumah sebab umi mahu ke sekolah. Aku apa lagi suka hati dan terus buka TV :D

4) Masa kecil dulu aku ada kebolehan dengar suara 'benda'. Bukan apa sangat cuma dia nak perkenalkan diri dia. Ada sekali aku cerita pada umi aku nampak kelibat Budin berlari di rumah yang belum diduduki oleh Cikgu Adam dan apabila dipanggil dia tidak menyahut. Puas kami cari tak jumpa dan dengarlah suara halus perempuan ingin memperkenalkan dirinya dari dalam rumah. Berlarilah kami pulang ke rumah aku pada ketika itu, tempat lepak kami. Umi cakap siapa suruh main dekat situ. Ada juga aku cerita aku berlawan pedang dengan syaitan dan melihat kak long tiada kepala masa tidur beserta ada laluan cahaya antara pintu bilik air dan pintu bilik tidur yang mengumpulkan segala binatang kotor seperti anjing dan babi lalu umi cakap aku tidur tak basuh kaki. Hehehehe.

5) Umilah orang yang selalu suka ubah susun letak barang. Umi sangat rajin mengemas dan suka memasak. Tiada masakan air tangan umi yang tidak aku suka. Setakat ini, tiada yang mampu melawan masakan air tangan umi. Dan aku pula rajin mengomen masakan umi :D. Hehehehe.

6) Aku lihat wajah penat umi ketika menguruskan aku di hospital. Memandikan aku, menyuapkan aku makanan, menyikat rambut, semua umi buat. Wajah itulah yang menangis ketika dia tinggalkan aku untuk solat sekejap kerana bila tiba semula, ada doktor yang mengganggu aku. Padahal sebelum itu umi sudah berpesan kepada aku supaya beritahu doktor aku sudah penat. Akulah yang membuat umi bersedih.

7) Umilah tempat aku menangis mengadu segala macam. Bila bercakap dengan umi, pasti tiada daya aku bendung airmata ini. Zaman sekolah dulu umi selalu berpesan walaupun sekadar "study smart" tetap jua aku mengalirkan airmata. Sekarang sudah pandai cover sedikit. Bila di dalam bas sahaja menitiskan airmata :D

8) Umi selalu cakap tiada apa-apa. Umi wanita tabah. Tak nampak pun raut sedih di wajahnya. Aku pula banyak menyusahkan keluarga, membimbangkan umi dengan sakit aku. Satu demi satu. Umi tetap dengan pesannya. Umi tetap dengan usahanya yang tidak putus-putus terhadap aku. Alhamdulillah, Allah kurniakan umi dengan kesihatan yang baik. Semoga Allah memelihara umi dan ayah sentiasa. Ameen.

9) Aku nak jadi superwoman macam umi. Cikgu yang disayang murid, cikgu yang penuh dedikasi. Ibu yang pandai menjaga kemaslahatan rumahtangga, memelihara soal agama keluarga, maruah suami dan anak-anak. Umi mengajar anak-anak berkelakuan sopan, memelihara aurat. Umi mendidik kami mengenal masjid sejak kecil lagi. Umi juga perancang kewangan yang terbaik bagi kami semua. Tanpa umi, tak mungkin kami dapat berdiri sebagai anak-anak umi pada hari ini.

Umilah yang terbaik bagi aku. Tiada gantinya selain umi.

Terima kasih umi. Maafkan segala salah dan silap Yah terhadap umi sepanjang umi menjaga Yah 24 tahun ini dan seterusnya jika dipanjangkan umur.

Aku tetap anak umi. Biarpun waktu kecil tidak mahu menyusu botol, besar pula banyak merajuk, tapi akulah anak umi yang satu. Yang istimewa ini.

Semoga Allah mengizinkan Yah menjaga umi pula nanti :') Ameen.


Urusan Pembaharuan IC, kad Bank di Malaysia

Assalamu'alaikum.

Alhamdulillah, pada hari Jumaat yang lepas saya berpeluang untuk ke Jabatan Pendaftaran Negara. Alhamdulillah urusan di JPN sekejap sahaja kerana tidak ramai orang. Baru sahaja ambil nombor terus nombor dipanggil.

Urusan di kaunter memerlukan surat laporan polis dan dokumen sokongan yang lain. Saya mengemukakan salinan laporan polis dan surat pengesahan daripada pihak Kedutaan Malaysia di Phnom Penh, Kemboja. 

Setelah meneliti laporan polis yang telah dibuat di Kemboja, pegawai tersebut menyatakan saya harus menulis dalam laporan tersebut bahawa ada orang yang mengambil beg. Jika tidak, saya terpaksa membayar RM110 untuk proses membuat kad pengenalan baharu. Semasa laporan polis dibuat, saya tidak menyatakan bahawa ada orang yang mengambilnya kerana pada ketika itu kami masih belum dapat melihat CCTV hotel. Pegawai tersebut memberi pilihan sama ada pergi membuat laporan polis yang baru di mana-mana Balai Polis Malaysia atau membayar denda RM110. Saya memilih untuk membayar denda kerana agak rumit juga mahu ke Balai Polis pada ketika itu. Pegawai tersebut menyatakan ada audit yang akan dijalankan tetapi tidak pula beliau mengambil salinan laporan polis yang saya berikan. Nampaknya semacam tidak sah pula. Ho ho ho. Tidak mengapalah. Jadi kesimpulannya saya diberikan diskaun 30% dan jumlah yang perlu dibayar ialah RM80 sahaja. Kad pengenalan siap dan boleh diambil pada keesokan harinya walaupun daripada pengetahuan saya ia boleh diambil terus pada hari yang sama. Mungkin disebabkan hari tersebut merupakan hari Jumaat, maka masa pengurusan menjadi lebih singkat.

Bank Simpanan Nasional cawangan Putrajaya terletak berhampiran sahaja dengan bangunan Jabatan Pendaftaran Negara. Cawangan CIMB juga terletak di bangunan tersebut. Urusan bank hanya bermula pada jam 9 pagi dan untuk hari Jumaat, ia dibuka sehingga 1 tengahari sahaja dan akan dibuka semula pada jam 2.30 petang sehingga 5.00 petang. Urusan membuat kad ATM baharu tergendala kerana saya tidak memiliki kad pengenalan. Urusan pengeluaran wang pula boleh dijalankan menggunakan buku bank dan kad pengenalan sementara yang diperolehi. Sudah 6 tahun saya tidak menggunakan buku bank :D

Alhamdulillah, Allah bantu dalam banyak hal urusan menguruskan dokumen-dokumen penting di Malaysia. Cuma untuk membuat pasport baru, saya tidak pasti pula adakah laporan polis tersebut perlu ditambah?

Thursday, May 8, 2014

Pengalaman Hilang Pasport di Phnom Penh, Kemboja

Bismillahirrahmaanirrahim..

Alhamdulillah.. akhirnya diberi kesempatan untuk menulis di sini tentang peristiwa kehilangan pasport semasa program Ziarah dan Bakti Siswa Guru ke Phnom Penh, Kemboja yang dirancang pada 1 Mei 2014 sehingga 4 Mei 2014.

Bagaimana Kehilangan Tersebut Berlaku

Rombongan kami yang diketuai oleh Ustaz Wan Yusof menginap di Hotel Pacific yang terletak di bandar Phnom Penh. Hotel tersebut terletak tidak jauh daripada Hotel New York. Hanya satu selekoh sahaja yang perlu dilalui untuk sampai ke hotel tersebut dan mengambil masa selama 5-10minit untuk sampai sekiranya berjalan kaki. Pada hari kedua, rombongan kami mula bersarapan pada pukul 6.45pagi di bahagian restoren Hotel Pacific. Saya telah meletakkan beg sandang atas sofa bersama beg-beg peserta program yang lain bersebelahan dengan ruang makan. Ruang sofa itu masih boleh dilihat dari tempat makan pensyarah. Pada pukul 7.30 pagi setelah siap bersarapan, saya mendapati beg saya tiada dan telah berkali-kali melihat di kawasan sekitar tetapi tiada. Perjalanan yang telah dirancang ke Pondok terpaksa diteruskan walaupun masalah ini timbul.

Siapa yang Ambil

Semasa makan, kami melihat seorang pelancong yang berbadan besar, berpakaian kemeja dan seluar slack dan menyandang sebuah beg di bahunya. Dia kelihatan seperti mencari tempat duduk. Oleh itu kami tidak berasa curiga terhadapnya. Apabila melihat rakaman melalui CCTV, benarlah dia yang mengambilnya. Dalam rakaman tersebut, dia melihat beberapa kali ke kiri dan kanan lalu menurunkan begnya ke bawah dan membuka zip begnya. Lalu dia berjalan ke arah kawasan yang diletakkan beg dan keluar semula daripada kawasan tersebut dengan beg yang tersandang di belakang dan saiz beg kelihatan agak besar daripada yang asal. Tiada siapa yang melalui kawasan tersebut melainkan dia. Lelaki tersebut merupakan pelancong daripada negara China walaupun daripada raut wajahnya tidak menampakkan dia daripada China.

Apa Yang Hilang Bersama Pasport

Kad pengenalan, kamera Canon yang baru 2 hari diambil daripada kedai setelah dibaiki, dua biji telefon bimbit Sony Ericsons; Experia dan Walkman, sepasang cermin mata, boarding pass Air Asia, tisu basah, pen dan buku catatan, lesen memandu, kad ATM BSN, duit USD70 dan  RM200.

Apa Yang Perlu Dilakukan

Alhamdulillah. Perjalanan pengurusan kesemua hal tentang pasport menjadi lebih mudah dengan adanya pemandu pelancong kami iaitu Ustaz Salleh yang sedia memberi bantuan yang diperlukan. Beliaulah yang membawa kami ke sana dan ke mari untuk menyelesaikan semua urusan.

1) Laporan Polis
Hanya ada sebuah tempat yang boleh drujuk oleh pelancong tentang sebarang masalah seperti kehilangan pasport iaitu Commissariat of Phnom Penh Municipal Office, Central Security Office, Foreigners Relation Agency yang terletak di tengah bandar Phnom Penh. Pejabat tersebut terletak berdekatan dengan hotel penginapan kami dan berada di antara Hotel Pacific dan Hotel New York. Kami hanya perlu berjalan kaki sahaja ke sana. Ada pegawai di sana yang boleh berbahasa Inggeris tetapi lebih senang jika kita ada kenalan yang boleh berbahasa kemboja. Walaupun laporan dibuat dalam bahasa Inggeris, pegawai di sana akan menulis semula laporan dalam bahasa Kemboja berdasarkan penceritaan daripada pemandu pelancong kami dan dia akan kepilkan bersama-sama dengan laporan yang telah kami tulis.

Dokumen yang dia minta ialah : Senarai nama ahli kumpulan yang melancong, tiket penerbangan, salinan pasport asal(jika ada)
Kos yang diperlukan : minima USD 10 (duit poket pegawai)

2) Mohon Pasport di Pejabat Duta
Proses memohon perakuan kecemasan daripada Pejabat Duta memakan masa sekurang-kurangnya tiga hari sebenarnya tetapi dalam hal ini, hanya mengambil masa dua hari sahaja. Alhamdulillah. Sebarang kamera dan telefon tidak boleh dibawa masuk ke perkarangan Pejabat Duta. Kesemuanya perlu ditinggalkan di pondok pengawal dan diperiksa seluruh badan sebelum masuk. Pegawai akan beri resit setelah bayaran dibuat dan resit tersebut perlu dibawa untuk menuntut dokumen perjalanan yang dimohon. Minta juga surat pengesahan daripada Pejabat Duta untuk memudahkan urusan permohonan kad pengenalan baru di Malaysia.

Dokumen yang dia minta ialah : 3 keping gambar pasport , salinan pasport asal, resit bayaran tempat menginap, 2 salinan laporan polis
Kos yang diperlukan : USD 15

3) Visa Kebenaran Keluar oleh Pejabat Imigresen Kemboja
Setelah selesai semua urusan di Pejabat Duta dan dapat Pasport Perakuan Cemas, bawa semua dokumen ke Pejabat Imigresen yang terletak di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh. Yang paling lama dan leceh sedikit adalah di sini. Waktu bekerja adalah dari jam 8-11.30am dan 1.30-4.00pm. Urusan tidak boleh dijalankan pada waktu rehat jadi terpaksa tunggu waktu rehat tamat. Sebetulnya urusan akan disiapkan dalam tempoh 3 hari tetapi Allah permudahkan dengan adanya pemandu pelancong kami, Alhamdulillah urusan visa dapat dipercepatkan walaupun saya check in tanpa visa. Pihak pejabat imigresen telah menelefon pihak imigresen di lapangan terbang dan membenarkan saya keluar daripada negara tersebut tanpa perlu mereka periksa visa kebenaran keluar. Urusan insyaAllah akan dipercepatkan jika kita kepilkan bersama tiket penerbangan yang telah dibeli.

Dokumen yang dia minta ialah : surat daripada pihak Duta (Duta dah bagi dalam sampul siap-siap), pasport perakuan cemas, salinan tiket penerbangan, 2 keping gambar pasport
Kos yang diperlukan : USD 40 ( tidak termasuk duit poket)

Walaupun nampak sekejap sahaja, urusan tersebut akan menjadi susah jika kita tiada dokumen yang diperlukan dan wang yang secukupnya. Kos-kos lain juga perlu diambilkira seperti kos penginapan, makanan, pengangkutan, kos delay tiket dan sebagainya.

Lain-lain kos sepanjang 2 hari untuk 3 orang :

Kos delay tiket untuk 2 hari : USD81 setiap seorang X 2 (MAS)
Kos tiket baru untuk 1 orang : USD155 (MAS)
Kos penginapan untuk 2 hari : USD80
Kos tangkap gambar pasport dan fotostat : USD 3.5
Kos makanan : minima USD 9 untuk sekali makan di Restoran D'Wau yang terletak bawah Hotel New York.