CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
tegurlah aku kerana dalam setiap teguranmu itu pasti terselit seribu satu hikmah yang pasti bisa menunjukkan sinar kepadaku...

Waktu Persekolahan

Cuti Cuti Cikgu 2014!


Thursday, May 8, 2014

Pengalaman Hilang Pasport di Phnom Penh, Kemboja

Bismillahirrahmaanirrahim..

Alhamdulillah.. akhirnya diberi kesempatan untuk menulis di sini tentang peristiwa kehilangan pasport semasa program Ziarah dan Bakti Siswa Guru ke Phnom Penh, Kemboja yang dirancang pada 1 Mei 2014 sehingga 4 Mei 2014.

Bagaimana Kehilangan Tersebut Berlaku

Rombongan kami yang diketuai oleh Ustaz Wan Yusof menginap di Hotel Pacific yang terletak di bandar Phnom Penh. Hotel tersebut terletak tidak jauh daripada Hotel New York. Hanya satu selekoh sahaja yang perlu dilalui untuk sampai ke hotel tersebut dan mengambil masa selama 5-10minit untuk sampai sekiranya berjalan kaki. Pada hari kedua, rombongan kami mula bersarapan pada pukul 6.45pagi di bahagian restoren Hotel Pacific. Saya telah meletakkan beg sandang atas sofa bersama beg-beg peserta program yang lain bersebelahan dengan ruang makan. Ruang sofa itu masih boleh dilihat dari tempat makan pensyarah. Pada pukul 7.30 pagi setelah siap bersarapan, saya mendapati beg saya tiada dan telah berkali-kali melihat di kawasan sekitar tetapi tiada. Perjalanan yang telah dirancang ke Pondok terpaksa diteruskan walaupun masalah ini timbul.

Siapa yang Ambil

Semasa makan, kami melihat seorang pelancong yang berbadan besar, berpakaian kemeja dan seluar slack dan menyandang sebuah beg di bahunya. Dia kelihatan seperti mencari tempat duduk. Oleh itu kami tidak berasa curiga terhadapnya. Apabila melihat rakaman melalui CCTV, benarlah dia yang mengambilnya. Dalam rakaman tersebut, dia melihat beberapa kali ke kiri dan kanan lalu menurunkan begnya ke bawah dan membuka zip begnya. Lalu dia berjalan ke arah kawasan yang diletakkan beg dan keluar semula daripada kawasan tersebut dengan beg yang tersandang di belakang dan saiz beg kelihatan agak besar daripada yang asal. Tiada siapa yang melalui kawasan tersebut melainkan dia. Lelaki tersebut merupakan pelancong daripada negara China walaupun daripada raut wajahnya tidak menampakkan dia daripada China.

Apa Yang Hilang Bersama Pasport

Kad pengenalan, kamera Canon yang baru 2 hari diambil daripada kedai setelah dibaiki, dua biji telefon bimbit Sony Ericsons; Experia dan Walkman, sepasang cermin mata, boarding pass Air Asia, tisu basah, pen dan buku catatan, lesen memandu, kad ATM BSN, duit USD70 dan  RM200.

Apa Yang Perlu Dilakukan

Alhamdulillah. Perjalanan pengurusan kesemua hal tentang pasport menjadi lebih mudah dengan adanya pemandu pelancong kami iaitu Ustaz Salleh yang sedia memberi bantuan yang diperlukan. Beliaulah yang membawa kami ke sana dan ke mari untuk menyelesaikan semua urusan.

1) Laporan Polis
Hanya ada sebuah tempat yang boleh drujuk oleh pelancong tentang sebarang masalah seperti kehilangan pasport iaitu Commissariat of Phnom Penh Municipal Office, Central Security Office, Foreigners Relation Agency yang terletak di tengah bandar Phnom Penh. Pejabat tersebut terletak berdekatan dengan hotel penginapan kami dan berada di antara Hotel Pacific dan Hotel New York. Kami hanya perlu berjalan kaki sahaja ke sana. Ada pegawai di sana yang boleh berbahasa Inggeris tetapi lebih senang jika kita ada kenalan yang boleh berbahasa kemboja. Walaupun laporan dibuat dalam bahasa Inggeris, pegawai di sana akan menulis semula laporan dalam bahasa Kemboja berdasarkan penceritaan daripada pemandu pelancong kami dan dia akan kepilkan bersama-sama dengan laporan yang telah kami tulis.

Dokumen yang dia minta ialah : Senarai nama ahli kumpulan yang melancong, tiket penerbangan, salinan pasport asal(jika ada)
Kos yang diperlukan : minima USD 10 (duit poket pegawai)

2) Mohon Pasport di Pejabat Duta
Proses memohon perakuan kecemasan daripada Pejabat Duta memakan masa sekurang-kurangnya tiga hari sebenarnya tetapi dalam hal ini, hanya mengambil masa dua hari sahaja. Alhamdulillah. Sebarang kamera dan telefon tidak boleh dibawa masuk ke perkarangan Pejabat Duta. Kesemuanya perlu ditinggalkan di pondok pengawal dan diperiksa seluruh badan sebelum masuk. Pegawai akan beri resit setelah bayaran dibuat dan resit tersebut perlu dibawa untuk menuntut dokumen perjalanan yang dimohon. Minta juga surat pengesahan daripada Pejabat Duta untuk memudahkan urusan permohonan kad pengenalan baru di Malaysia.

Dokumen yang dia minta ialah : 3 keping gambar pasport , salinan pasport asal, resit bayaran tempat menginap, 2 salinan laporan polis
Kos yang diperlukan : USD 15

3) Visa Kebenaran Keluar oleh Pejabat Imigresen Kemboja
Setelah selesai semua urusan di Pejabat Duta dan dapat Pasport Perakuan Cemas, bawa semua dokumen ke Pejabat Imigresen yang terletak di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh. Yang paling lama dan leceh sedikit adalah di sini. Waktu bekerja adalah dari jam 8-11.30am dan 1.30-4.00pm. Urusan tidak boleh dijalankan pada waktu rehat jadi terpaksa tunggu waktu rehat tamat. Sebetulnya urusan akan disiapkan dalam tempoh 3 hari tetapi Allah permudahkan dengan adanya pemandu pelancong kami, Alhamdulillah urusan visa dapat dipercepatkan walaupun saya check in tanpa visa. Pihak pejabat imigresen telah menelefon pihak imigresen di lapangan terbang dan membenarkan saya keluar daripada negara tersebut tanpa perlu mereka periksa visa kebenaran keluar. Urusan insyaAllah akan dipercepatkan jika kita kepilkan bersama tiket penerbangan yang telah dibeli.

Dokumen yang dia minta ialah : surat daripada pihak Duta (Duta dah bagi dalam sampul siap-siap), pasport perakuan cemas, salinan tiket penerbangan, 2 keping gambar pasport
Kos yang diperlukan : USD 40 ( tidak termasuk duit poket)

Walaupun nampak sekejap sahaja, urusan tersebut akan menjadi susah jika kita tiada dokumen yang diperlukan dan wang yang secukupnya. Kos-kos lain juga perlu diambilkira seperti kos penginapan, makanan, pengangkutan, kos delay tiket dan sebagainya.

Lain-lain kos sepanjang 2 hari untuk 3 orang :

Kos delay tiket untuk 2 hari : USD81 setiap seorang X 2 (MAS)
Kos tiket baru untuk 1 orang : USD155 (MAS)
Kos penginapan untuk 2 hari : USD80
Kos tangkap gambar pasport dan fotostat : USD 3.5
Kos makanan : minima USD 9 untuk sekali makan di Restoran D'Wau yang terletak bawah Hotel New York.


No comments: