Sedang santai-santai bersama Auni, adik, kakak dan Nuha, aku lihat Nuha bermain-main dengan tisu yang digumpal-gumpal. Kebetulan dia sedang dinasihati tentang menyatakan perkataan yang tidak elok(hasil pembelajaran di tempat pengasuh) dan kesannya adalah pahala yang berkurang lalu ganjaran untuk membuang tisu ke dalam tong sampah adalah pahala bertambah menggantikan pahala yang berkurang tadi. Bergegas dia bangun sehingga hampir-hampir terlanggar dan terkena Auni(bayi meniarap). Di pertengahan jalan, dia pusing badan, "Maaf Auni nak terlanggar". :)
Setelah kembalinya Nuha, tiba-tiba datang seorang kakak bertanyakan siapa yang panaskan api untuk masak telur di dapur. Masing-masing kata tidak tahu. Pada masa itu aku tidak faham apakah maksud di sebalik pertanyaan tersebut.
Sesi ceramah Nuha bersambung lagi apabila dia menyebut perkataan yang tidak elok kedua semasa bermain dengan adik.
Aku ambil tempat di kerusi, panggil dia ke hadapan. Bersemuka.
"Kakak sebut perkataan tak elok lagi. Cik yah cakap kena apa kalau sebut perkataan tak elok lagi?"
... diam.
tadi sudah aku beritahu kesan fizikal atau denda yang dia akan dapat jika sebut perkataan yang tidak elok; cubit pipi. Adik Nuha, Nafis masih belum boleh bercakap. Membebel panjang sahaja dia. Denda Nafis setakat ini adalah pukulan di tapak tangan. Macam biasa, sebelum denda atau hukuman dijalankan, mereka akan diberitahu terlebih dahulu salah mereka.
"Tadi kakak sebut perkataan tidak elok. Kakak tahu kesalahan yang kakak buat. Jadi kakak kena denda."
dia berjalan meninggalkan aku.
aku panggil semula.
"Mari sini."
"Kita kena berani mengaku kesilapan kita."
Datang juga dia.
"Cik Yah nak denda kakak ni. Boleh cik yah denda?"
geleng-geleng kepala.
"Kakak dah lakukan kesalahan. Jadi Cik Yah tetap kena denda kakak."
Diam.
Maka aku melaksanakan denda tersebut. Setelah denda dilaksanakan, proses akur janji pula dengan dibantu oleh aku sendiri.
Pengakhirannya, ceramah berlangsung lagi tentang syurga, neraka, pahala, dosa dan yang menariknya kali ini, aku minta Nuha sampaikan pembelajaran hari ini kepada orang di sekeliling : Allah wujud memerhatikan apa yang kita buat dan apa yang kita tak buat.
Ceramah tamat apabila rancangan Maharaja Lawak Mega bermula.
Tamat sahaja rancangan tersebut, aku dengar umi sebut pasal kuali panas tak tutup api. Ohh nampaknya macam bersangkut paut dengan apa yang kakak aku tanya tadi. Aku bertanya hal yang sebenar. Rupa-rupanya ada orang yang memanaskan minyak untuk menggoreng telur tetapi terbiar begitu sahaja. Telur tidak digoreng, api tidak ditutup. Aku ada bertanyakan pada adik tetapi dia kata dia tidak tahu dan lupa sama ada dia yang melakukan kesalahan tersebut. Sudah pasti bukan aku juga. Suspek yang tinggal adalah kakak aku yang seorang lagi.
Teringatkan isi ceramah utama Nuha tadi iaitu berani mengaku kesalahan, aku nekad hendak tanyakan pada adik dan kakak aku semula dan sudah pasti isi utama ceramah tadi digunakan. :D
Kadang-kadang kita terlupa, perkara yang nampak mudah pada kita, tetapi tidak sesuai sebenarnya untuk anak-anak kita. Sebabnya perkataan tidak elok yang Nuha sebutkan bukanlah perkataan yang teruk bagi orang dewasa. Ia merupakan perkataan yang norma tetapi untuk kanak-kanak, ia tidak sesuai untuk disebut. Dengan kanak-kanak, kita bersikap tegas tetapi kenapa tidak dengan orang dewasa juga kan?
Sungguh, aku terkesan sekali dengan apa yang aku ucapkan kepada Nuha malam ini. Hal ini cukup membawa erti bahawa orang dewasa juga boleh menjadi kanak-kanak semula.
Menjadi suci :)
Allah itu Maha Pengampun.
No comments:
Post a Comment