CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
tegurlah aku kerana dalam setiap teguranmu itu pasti terselit seribu satu hikmah yang pasti bisa menunjukkan sinar kepadaku...

Waktu Persekolahan

Cuti Cuti Cikgu 2014!


Sunday, June 29, 2014

HARI MENUJU RAMADAN 1435H PENUH KEJUTAN : Cadangan Pembedahan

Bismillahirrahmaanirrahim..

Alhamdulillah.. aku masih berpeluang menulis di sini. Entah sampai bila aku akan punya peluang seperti ini lagi.

Pada 25 Jun 2014 aku berpeluang untuk mengikuti temujanji di Hospital Serdang Unit Kardiologi bagi memeriksa keadaan jantung beserta injapnya. Seawal jam 7.30++ kak long sudah menghantar aku ke perkarangan hospital. Walaupun masih awal, barisan beratur mendapatkan nombor sudah panjang. Kira-kira ada 80 lagi nombor yang perlu aku tunggu sebelum sampai kepada giliran aku dan ia mengambil masa selama 45 minit. Sesudah itu, aku bergerak ke aras 3, Bilik 7 iaitu bilik yang menempatkan unit kardiologi. selepas mendapatkan nombor, aku hanya menunggu sahaja. boleh dibilang dengan jari berapa bilangan orang muda di situ; tidak sampai 5 orang termasuk aku. ada yang datang bersama suami dan anak, dan ada yang mengandung dan datang dengan 2 orang kawan. ada juga pasangan muda yang datang bersama isteri. aku sendirian sahaja. tidak perlu berteman dan belum punya teman sebenarnya. hahaha. tak mengapa. jauh lagi perjalanan :)

nama aku dipanggil untuk masuk ke bilik nombor 5 untuk dilakukan ECG iaitu mendapatkan bacaan jantung. misi tersebut memanggil aku dengan panggilan puan dan aku mengiakan sahaja. selepas itu beliau bertanyakan kepada aku samaada aku ini puan atau cik, lalu aku katakan cik. cepat-cepat dia minta maaf. aku macam biasa, "PLEASE, DONT BOTHER". hahaha. ok aku cuma cakap "tak apa" sambil menunjukkan muka paling manis ;)

selesai ECG, masa untuk ECHO~~~

masa tu giliran aku ke-20. jadi misi minta aku pergi makan dahulu memandangkan aku belum lagi makan. aku turun ke kafe dan menikmati makanan sendirian. sambil makan, aku tidak henti-henti berfikir macam-macam perkara. al-maklumlah berada di hospital. fikir pasal ECHO pun ada. fikir pasal kenapa air murah. fikir makanan hospital murah lagi daripada makanan maktab. fikir kenapa kari sotong ini sotongnya tidak berasa apa-apa. fikir pukul berapa nak balik. adoi macam-macam dalam kepala dok fikir.

dah siap makan, aku naik ke semula ke bilik 7. nampaknya nama aku masih belum dipanggil. rasa mengantuk aku dibuatnya kerana menunggu terlalu lama. tambahan pula dengan bilik yang berhawa dingin macam tu, memang lali lah jadinya. setelah menunggu lebih kurang 20minit, akhirnya nama aku dipanggil.

aku malu sebenarnya sebab pegawai tersebut adalah lelaki. aduhai. memang tiada pegawai perempuan nampaknya jadi terpaksalah. yang bestnya di sini, kami disediakan baju hospital untuk ditukar. maka aku dengan jakunnya menukar baju kepada baju hospital. tudung di kepala tidak aku tanggalkan. seingat aku pernah menjalani ECHO di HUSM Kubang Kerian, kami hanya perlu buka baju keseluruhannya dan begitu sahaja. aduhai. paling kurang, baju hospital ini dapatlah menutup apa yang patut. aku malu sebenarnya tetapi demi jantung yang berkhidmat untuk jasad aku, aku relakan juga. pegawai tersebut menggunakan alat sepertimana yang digunakan untuk memeriksa kandungan orang mengandung. sakit juga apabila ditekan di bahagian jantung. aku tak berapa nampak skrinnya yang memaparkan keadaan jantung. setelah diperiksa, aku tunggu keputusan dalam 10-15minit.

Setelah semua urusan selesai, maka tibalah masa aku menunggu giliran dipanggil ke bilik doktor. Doktor bertugas adalah doktor lelaki. menurut beliau, keadaan aku sekarang memerlukan pembedahan dibuat. dia menerangkan kepada aku bahawa injap yang bocor adalah injap aorthic atau aortha. kalau tak silap aku, aortha adalah injap yang membawa darah dari jantung ke seluruh badan. Allah... kesian jasad aku. kesian jantung aku. doktor kata jantung dah mula membengkak sedikit. alololo.... lagi kesian kat dia. jadi pembedahan perlu dibuat juga. aku meminta masa setahun lagi dengan doktor kerana aku bakal menamatkan pengajian pada November 2015. doktor mengatakan bahawa tekanan darah aku juga rendah. jadi beliau tidak memberikan sebarang ubatan kerana dikhuatiri akan menyebabkan tekanan darah aku menjadi semakin rendah. pertemuan diakhiri dengan persetujuan untuk temujanji seterusnya.

aku dengan gigihnya Google beberapa perkara berkenaan pembedahan ini.

sekiranya pembedahan dijalankan di IJN, kemungkinan kos perubatan adalah sehingga RM40, 000. aku akan diberi pilihan untuk menggunakan injap mekanikal atau injap haiwan yang terdiri daripada pilihan lembu dan babi. Kedua-dua injap ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri.

Injap mekanikal
- tidak perlu ditukar lagi
- perlu minum ubat mencairkan darah seumur hidup, selagi roh dikandung jasad
- jika terlupa makan ubat, dikhuatiri berlaku strok
- risiko tumpah darah yang serius semasa melahirkan anak

Injap Haiwan
- injap paling lama bertahan selama 15tahun, bergantung kepada antibodi diri pesakit
- tidak perlu makan ubat, paling kurang painkiller
- jika rosak, perlu ditukar lagi selepas 15tahun

aku ada bincang dengan kak long. dan kami sama-sama bersetuju untuk menggunakan injap haiwan. tak mengapalah kalau perlu kena bedah lagi, yang penting tidak perlu makan ubat sebegitu kerana ia sememangnya bahaya. aku pernah makan ubat mencairkan darah sebelum ini semasa berada di hospital. mungkin darah pekat sangat waktu itu. semasa doktor ambil darah aku dapat lihat kepekatan darah yang berada dalam tiub darah tersebut.

jadinya, sekarang aku mengharapkan keajaiban berlaku bersempena dengan bulan Ramadan ini. aku mengharapkan doa daripada kalian untuk kesembuhan aku. semoga Allah makbulkan doa kalian semua. Ameen. 

Aku perlu memikirkan beberapa perkara termasuklah pengajian aku ini yang utamanya. umi masih tidak berputus harap mencari alternatif lain. aku bukanlah seorang yang mudah berputus asa tetapi aku kesiankan jasad ini. risiko pembedahan adalah 50% tetapi jika pembedahan tidak dibuat, aku berdepan dengan risiko kematian pula.

Allahuakbar. Allah Maha Mengetahui. Semoga aku diberi petunjuk untuk membuat pilihan mana yang terbaik : Menangguhkan Pembedahan atau Menangguhkan Pengajian.

Allah sentiasa bersama aku :)

Ramadan Kareem, sahabat :)


No comments: