Assalamu'alaikum :)
selamat pagi dan salam sejahtera.
apa khabar jiwa pagi ini? masih berasa tenang dan mensyukuri nikmat yang diberikan Tuhan pada pagi ini? semalam saya lihat bulan. cantik sangat. terbentang luas langit Allah di malam hari. tak sebutir bintang pun kelihatan. itulah kuasa-Nya. tiada yang mampu memberi cahaya kepada sang kegelapan malam selain-Nya. Alhamdulillah. Allahuakbar.
pada pagi yang indah lagi mulia ini, saya sedang meneruskan pembacaan saya dalam tajuk buku : Lebih Dari 1000 Amalan Sunah Dalam Sehari Semalam tulisan Khalid Al-Husainan. jadi, saya ingin berkongsi serba sedikit dapatan daripada pembacaan saya.
sebelum itu, marilah kita sama-sama meneliti waktu solat dhuha.
Waktu Dhuha ialah waktu setelah berakhirnya masa tahrim (waktu yang diharamkan solat, dari selepas solat subuh sehingga waktu:
1) Menurut Nabi Muhammad S.A.W, bangunnya anak unta dari tidurnya atau
2) kata orang-orang tua kita, tinggi matahari sudah mencapai dua galah iaitu lebih kurang sejam sebelum masuknya solat Zohor.
solat ini sebanding dengan 360 sedekah. hal ini kerana di dalam tubuh manusi, terdapat 360 sendi (persendian). setiap sendi tersebut memerlukan sedekahnya pada setiap hari.
Hadis Buraidah r.a ada menyebut bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Manusia memiliki 360 sendi dalam tubuhnya. Hendaknya ia bersedekah untuk semua sendi tersebut". diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam kitab al-Adab bab Imaathatul Adzaa 'anith Thariiq no 5242 dan Ahmad.
sedekah yang diperuntukkan pada persendian sebagai perwujudan rasa syukur atas nikmat. untuk mencukupi setiap sedekah tersebut, maka solat sunat dhuha adalah langkah yang terbaik.
disebutkan dalam Shahiih Muslim, bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda : "Setiap pagi pada tiap-tiap ruas persendian di antara kalian memiliki hak, iaitu sedekah. setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, amar ma'ruf termasuk sedekah, mencegah dari kemungkaran termasuk sedekah, maka yang mencukupi demikian itu adalah solat Dhuha dua rakaat"
terdapat pebagai manfaat dan faedah yang bakal kita perolehi apabila memenuhi tuntutan solat sunat dhuha. Antaranya,
"Barangsiapa yang mengerjakan solat Dhuha dengan terus menerus, akan diampuni dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu seluas lautan.” (HR Tirmizi)
menurut hadis dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya ia berkata : " Aku telah diberikan nasihat oleh kekasihku (Rasulullah S.A.W) dengan tiga hal, iaitu berpuasa tiga hari ( 13, 14,15) pada setiap bulan (Hijriyyah), dua rakaat solat Dhuha, dan solat Witir sebelum aku tidur." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
kita sebagai seorang yang beragama Islam, hendaklah mempraktikkan amalan sunat ini dalam melengkapi amalan-amalan wajib. rezeki bukan sahaja bergantung pada doa, kita juga dikehendaki berusaha. Allah tak akan tolong mereka yang tidak mahu menolong diri sendiri. semoga kita dapat menerapkan amalan ini dalam kehidupan seharian kita. semoga rahmat dan berkat Allah sentiasa memenuhi kehidupan kita sehari-hari. insyaAllah.
Assalamu'alaikum.
1 comment:
waalaikumussalam perkongsian yg bagus
Post a Comment